15 November 2010

Keluar Mulut Harimau Masuk Mulut Buaya

Salam,

Najib mempunyai banyak masa lagi untuk mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke 13. Beliau tahu tarikh mana yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya tersebut, sudah tentu beliau akan memilih masa yang tepat untuk mengumumkannya. Apabila beliau merasakan BN betul-betul sudah diterima rakyat, barulah beliau akan mengumumkannya. Itu firasat saya.

Kata-kata ramai mengandaikan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Alasanya BN sudah kuat. Buktinya BN telah menang di kedua-dua pilihan raya kecil di Galas dan batu Sapi Sabah. Betulkah BN sudah kuat, sudah boleh diterima oleh rakyat? Persoalan itu susah untuk dijawab. Pada pandangan saya, kemenangan dalam pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi bukanlah satu alasan yang kukuh untuk kita mengandaikan BN sudah kuat, sudah diterima rakyat dan sudah berjaya menawan hati rakyat. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh BN untuk menarik semula kepercayaan rakyat yang telah pudar kepada BN.

Sebenarnya bukan tarikh bila pilihan raya umum ke 13 yang menjadi perhatian saya kali ini, tetapi isu yang saya nak ketengahkan di sini ialah adakah Pakatan Rakyat mampu menumbangkan BN pada pilihan raya umum kali ini? Dan kalau Pakatan Rakyat mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya umum kali ini, adakah mereka mampu menjadi satu kerajaan yang lebih baik daripada Kerajaan BN yang ada sekarang ni? Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, Itu yang sepatutnya kita fikirkan. Kita tak mahu seperti kata pepatah, keluar mulut harimau masuk mulut buaya...

Kalau Pakatan Rakyat betul-betul ingin membenteras ketidakadilan yang dilakukan oleh pemerintahan BN seperti amalan rasuah, pembaziran, amalan kronisme seperti yang diwar-warkan dalam akhbar, kita sebagai rakyat yang prihatin rasanya patut memberi peluang ini kepada Pakatan Rakyat untuk membetulkan ketidakadilan dalam pemerintahan BN. Bagaimana caranya...? Sudah tentu dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

Pun begitu sebagai rakyat yang mempunyai akal fikiran yang waras, kita perlu berfikir dan berfikir dan terus berfikir untuk membuat satu-satu keputusan. Bukan apa, takut nanti apa yang kita putuskan nanti akan memakan diri kita sendiri. Untuk itu kita perlu melihat dan memerhati keadaan sekeliling yang boleh dijadikan panduan dan pedoman supaya kita tidak membuat satu keputusan yang silap.

Saya tahu, BN banyak membuat kesilapan dalam pemerintahannya. Ini membuatkan rakyat begitu marah dan kemarahan itu ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya umum yang lepas. Tetapi adakah Pakatan Rakyat boleh memerintah lebih baik daripada BN? Kita boleh lihat sendiri cara pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Daripada cerita-cerita dalam blog dan akhbar-akhbar harian, kita dapati cara pemerintahan mereka pun lebih kurang sama dengan BN, banyak berlaku rasuah, penyelewengan sana-sini, ketidakpuasan pihak-pihak tertentu begitu berleluasa.

Yang terbaru ialah mengenai pembatalan keberangkatan Sultan Selangor menghadiri satu majlis jamuan kerana dikatakan kerajaan negeri boros dalam berbelanja. Artikel tersebut boleh dibaca di sini http://www.malaysiakini.com/news/148062.

Jadi sebagai rakyat kita hendaklah berhati-hati dalam membuat keputusan. Tidak salah untuk menukar satu-satu kerajaan, tetapi bimbang kalau kerajaan yang baru dipilih tersebut lebih rakus daripada kerajaan sedia ada.

Soalnya perlukan kita tumbangkan kerajaan yang sedia ada kini atau kita bertindak sahaja sebagai kumpulan pendesak. Mana-mana tindakan kerajaan yang dirasakan tidak betul, kita sebagai rakyat harus menyedarkan kerajaan dengan mengemukan cadangan yang lebih baik daripada apa yang dirancang oleh kerajaan. Saya rasa itu lebih baik. Apa pun keputusan terletak ditangan kita semua. Tunjukkanlah kepada semua bahawa sebagai rakyat, kita paling berkuasa dalam membuat apa-apa keputusan dalam pemerintahan demokrasi. Semoga kita semua dikurniakan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dn juga di akhirat.

Tiada ulasan: